Sunday, January 8, 2012

Memaknakan diri dengan nilai sebenar


Kadang-kadang, apabila tiba waktu aku teringat-ingat kepada rakan dan kenalan aku di serata dunia ini, aku tidak dapat lari daripada membandingkan diri aku dengan mereka dari sudut taraf pendidikan. Tapi jangan salah faham, bukan membandingkan dengan maksud merendah-rendahkan aku ataupun mereka. Sekadar rasa tertanya dari sudut harapan dan cita-cita ibu bapa.

Mempunyai anak yang belajar di tahap yang tinggi di gedung universiti sudah pasti menggembirakan ibu dan ayah. Banyak kali juga, apabila aku dan keluarga pulang ke kampung untuk menziarahi nenek di Gombak, daripada rumah kami di Temerloh, Ibu aku akan cakap “Along nanti dah besar,belajar la kat sini” sambil kami semua memandang ke arah Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Ketika itu,aku masih belajar di sekolah rendah.

Sekarang, pada umur begini, ramai kawan-kawan yang sudah dan bakal menamatkan pengajian ijazah pertama mereka. Aku, masih belum mempunyai sijil untuk dibanggakan oleh orang tua aku. Aku masih bertatih mencari-cari kunci hidayah untuk kehidupan yang hakiki di perhentian yang seterusnya. Bukan kecewa dengan dunia, tetapi sekadar menggunakan usia keemasan sebelum menjadi warga emas. Aku cuma ada segunung azam dan cita-cita untuk membahagiakan orang-orang yang disayangi pada kehidupan yang lebih bermakna.

Bukan aku maksudkan kawan-kawan aku berada dalam kesilapan kerana mengutamakan sijil. Tidak, aku tidak datang daripada pemikiran sebegitu. Cuma aku sedang mensurahkan tentang aku. Dan aku adalah orang yang agak kompleks pemikiran. Barangkali kerana terlalu kerap membaca buku falsafah satu ketika dahulu. Buku Dare To Fail adalah antaranya yang terawal. Begitu juga sesi perdebatan ketika di sekolah menengah, ia banyak membentuk cara aku berfikir. Perdebatan itu bukan sekadar pengalaman, bahkan pembelajaran bagi aku. Pernah aku katakan pada seseorang “kalau macam tu, saya kena ready la untuk tak macam-macam lagi lepas ni

Orang dah mula ulang al-Quran bulan ni, doakanlah orang boleh pakaikan mahkota kat ibu dengan ayah kat syurga nanti” , itulah antara isi dalam SMS aku kepada ibu. Aku cuba untuk menggembirakan ibu dan secara tidak langsung memahamkan ibu,apa sebenarnya yang aku cari.

Teringat tatkala membaca kisah Imam Haiwah Bin Syuraih, seorang ulama’ hadith yang dimaqamkan di Mesir pada tahun 159 Hijrah.

Pernah satu hari ibunya datang ketika beliau sedang mengajar hadis. Kata ibunya kepada ulama besar ini "Wahai Haiwah, cepat bangun dan tolong siatkan dan potongkan ayam untukku”. Apakah reaksi seorang imam besar hadis ini? Tidak tahukah ibunya bahawa anaknya sedang mengajar hadis di hadapan ribuan penuntut?


Sang Imam terus bangun meninggalkan majlis hadis tersebut dan murid-muridnya bagi menyelesaikan urusan ibunya. Beliau membuat seperti apa yang diarahkan ibunya tersebut.

Ini bukan tulisan tanda kecewa. Bukan tanda menyesal. Bukan juga cuba-cuba untuk mengatakan apa yang aku fikirkan adalah yang terbaik. Sekadar coretan nota yang diharapkan mampu menjadi sebab hidayah kepada diri, dan orang lain : “Demi Allah, sekiranya Allah mengurniakan hidayah kepada seseorang disebabkan engkau, maka itu adalah terlebih baik daripada unta yang merah (unta merah : sejenis unta yang merupakan kenderaan paling mahal ketika waktu itu), Hadis riwayat Abu Daud.

Kembara yang tidak panjang di Kota Debu ini,adalah kembara mengkoreksi diri, kembara mencari hidayah, iman dan taqwa, kembara memperbaharui semangat dan fikrah, kembara mencari apakah erti sebenarnya keberadaan di bumi ini.

kau? Sudah kau betul-betul jelas erti kau dihidupkan?

Jangan takut dengan kegagalan, tetapi jangan mencari kegagalan!

Semoga berjaya di musim peperiksaan ini, di mana pun anda berada, bi taufeeq wan najaah.

p/s : aku masih cuba untuk menulis entry yang berunsur tidak serius a.k.a ada unsur humour. Tetapi,buat masa ini, aku masih gagal.

No comments:

Post a Comment