Saturday, February 4, 2012

Merawat debu


Petang itu aku duduk di tembok yang mengelilingi 'Souq Sayyaraat' (Pasar Kereta). Sambil melihat mereka bermain bola sepak. Kebanyakan pemain berwajah Asia khususnya Indonesia. Beberapa orang bermuka India dan sebilangan daripada Somalia. Cuma aku satu-satunya yang berwajah Arab-Rusia di situ. (blog aku kan?)

Petang itu juga,aku menghela nafas sambil memandang ke langit. Kebetulan itulah sebuah kapal terbang sedang melintas,gayanya seperti bakal mendarat. Terus ingatanku menyinggah ke Malaysia. Ah, bibit-bibit kerinduan sudah mula timbul. Sudah hampir 6 bulan aku di Kota Debu ini. Bukan berfalsafah,tapi benar bahawasanya aku memang merasakan seolah aku baru sampai ke sini pada bulan lepas. Cepatnya masa berlalu. Aku tidak mahu bermuhasabah tentang apa yang telah aku dapat dalam 6 bulan ini.

Semakin lama aku di sini,bermakna semakin singkat masa yang berbaki sebelum aku pulang ke Malaysia. Analoginya tidak ubah seperti orang yang mengetahui bilakah masanya ia akan pergi mengadap Allah. Beruntunglah mereka yang berjaya membawa bekas bekalan yang baik. Sekiranya tempoh yang berbaki ini tidak aku gunakan sebaiknya, maka tidaklah berbeza aku dengan mereka yang membawa bekalan yang basi bahkan berulat. Tenaga, masa, duit dan harapan akan menjadi sia-sia jika aku tidak menjadi hamba yang lebih dekat dengan tuhannya.

Aku selak helaian Bidayatul Hidayah, ditulis oleh Imam Al-Ghazali bahawa Nabi pernah bersabda :

أَخْبَرَنَا أَبُو بَكْرٍ عُمَرُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ بْنِ مَرْدَوَيْهِ الْكَرَجِيُّ ، حَدَّثَنَا أَبُو سَعِيدٍ إِبَاءُ بْنُ جَعْفَرٍ النَّجيرمي ، أَخْبَرَنَا أَحْمَدُ بْنُ سَعِيدٍ الثَّقَفِيُّ ، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ بْنُ عُيَيْنَةَ ، عَنْ إِبْرَاهِيمَ بْنِ مَيْسَرَةَ ، عَنْ أَنَسٍ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ ، قَالَ : مَنِ ازْدَادَ عِلْمًا وَلَمْ يَزْدَدْ هُدَى لَمْ يَزْدَدْ مِنَ اللَّهِ إِلا بُعْدًا

Maksud : Barangsiapa yang bertambah ilmunya, tetapi tidak bertambah hidayah (dan manfaatnya untuk diamalkan dan menjadi lebih baik), maka tidak bertambah daripada Allah (kepadanya) melainkan bertambah jauh daripadaNya.



Terpanah. Aku tutup semula buku kecil itu.
Berfikir ke manakah ilmu aku yang sedikit itu telah membawa aku selama ini.
Semakin dekat atau semakin jauh?

Sebelum parah, rawatlah ia.