Wednesday, August 15, 2012

1 year

Alhamdulillah, hari ini sudah genap setahun aku berada di Kota Debu ni. Asalnya hendak aku kongsikan sedikit pengalaman dan cara hidup di sini, tentang ahlinya, pengangkutannya, adatnya dan lain-lain. Tapi hilang pula mood aku. Tekak terasa perit,selsema dan mata yang tidak secerah dulu.


Friday, July 13, 2012

pijat

Tak terasa untuk menulis, untuk tempoh setahun
atau dua,tiga tahun..wallahua'lam..
Jika ada yang baik,ambillah.
Yang buruk,saya minta maaf.
Jangan tuntut di akhirat
sebab saya memang tak mampu.
Blog saya ini, asalnya cuma
tempat untuk saya menulis
sesuatu yang apabila saya tua nanti
saya mahu ingat.

Asalnya begitulah.
Namun sekali sekala
terasa takut apabila
membaca tulisan sendiri.

Saya akui,
pidato, pengucapan dan penulisan
bukan jiwa saya lagi.
Kalau satu hari kemudian ia datang semula,
saya tak tahu.

Jiwa saya adalah..............

Untuk 2-3 orang yang membelek blog saya,
Till the day we meet again.
Senyum, dan chill.

Sunday, July 8, 2012

Sahaja

Terasa ingin mencatat sesuatu,sementara menunggu basuhan di mesin basuh selesai.
Aku benci dengan satu sikap ; menjadikan mesin basuh sebagai tempat merendam pakaian.
Namun aku cuba berdamai dengan mengatakan manusia itu tiada yang sempurna,erm.

Hari ke hari,aku kenal,siapa sebenarnya kawan.
Bukan cerewet, tapi sungguh aku dah penat, dengan mereka yang mengaku sebagai kawan,
Tika ada hajat, adalah dia. Saat sudah bosan atau ternama, mula bermain dengan emosi dengan kata-kata : bukan kau seorang saja kawanku. Cis.
Namun aku cuba berdamai dengan mengatakan manusia itu tiada yang sempurna

Realitinya,begitulah.
Dengan manusia ini,langsung tidak apa yang boleh diharap darinya.
Nak harapkan duit darinya,bukan dia pengatur rezeki. Hendak harapkan kasih darinya,belum tentu.
Jangan harap kebaikan darinya,sebab dia cuma manusia,risau nanti yang mengharap akan kecewa sakit,
Sandarkan harapan tu pada yang menciptakan manusia, dan yakin manusia itu cuma pengantaranya.

Hendak dibebelkan,aku bukan ahlinya,
Ikutkan saja kata hati aku : damaikanlah sangkaan kau, manusia itu tiada yang sempurna, bahkan diri kau sendiri masih banyak aib dan cela.

Justeru,dengan manusia, perlu saling kasih mengasihani. Kalau tak mampu diungkap,tunjukkan dengan kelakuan.

Aku yang bermuka garang,
menulis hal yang sedih dan serius.
Kenapa aku tak menulis hal yang gembira dan bahagia?
Entah...menunggu 'kawan sejati' barangkali.

Catatan ini,hanya catatan.
Bukan matan akidah mahupun syariah.

Ramadhan Kareem.

Friday, June 15, 2012

Ustaz Yahya Othman 1939-2012


“Minta maaf Ustaz, minggu ini menjadi minggu yang sangat sukar bagi saya”, kataku kepada Ustaz Islam untuk memberitahunya aku tidak dapat ke kelas petang itu.

Seputar kejadian yang tiba-tiba terjadi dengan Muslim di Myanmar, pembunuhan di Haulah Syria, Palestin yang tetap begitu, pilihanraya Mesir yang bertukar menjadi pertembungan antara Islam dan Liberal dan pelbagai lagi kejadian dan permasalahan yang berlaku dalam kalangan kita orang Islam, tidak dilupakan  masalah Iman dan Taqwa.

Tidak habis dengan itu,aku dikejutkan pula dengan berita pemergian al-Murabbi al-Tarbawi al-Syeikh Yahaya Othman (Ustaz Ya).

Selintas bacaanku terhadap berita itu,aku benar-benar berharap bahawa nama yang diberitakan itu bukanlah Ustaz Yahaya Othman yang kami kenali. Biarlah ia nama seseorang yang tidak kami kenali. Aku baca berulang kali dan akhirnya gambar di bawah artikel tersebut menunjukkan gambar Ustaz Yahya Othman yang kami kenali.

Aku menarik nafas panjang dan dalam. Betapa Allah tidak mengizinkan impianku yang satu ini. Tidak sampai dua bulan lepas, ingatanku kepada beliau sangat kuat, sementelah itu aku tanamkan niat untuk menziarahi Ustaz Ya sesegera mungkin apabila aku pulang ke Malaysia nanti. Namun apalah daya aku sebagai makhluk,tidak lebih dari sekadar impian dan harapan dan sedikit kudrat yang Allah pinjamkan.

Aku tidak layak untuk mengakui diri ini sebagai anak murid Ustaz Ya secara khusus. Namun cebisan ilmu dan kenanganku dengannya,mudah-mudahan menjadi ‘teguran’ buatku tika aku terlintas untuk menjauhi perjuangan. Beliau bersemangat gigih dan benar-benar kuat iltizamnya. Dalam keadaannya yang uzur, beliau sanggup datang dari Kelantan ke Terengganu semasa berlangsungnya Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS tahun 2010, beliau datang untuk memastikan unsur tarbiah tidak ditinggalkan oleh kader-kader PAS. 

Dengan uzurnya itu,Ustaz Ya memberi ucapan semangat kepada kami dan beliau tidak duduk walau sesaat pun ketika berucap walaupun dengan uzurnya itu,Ustaz Ya patut berucap sambil duduk. Beliau memang kuat jiwa tarbiahnya! Kuatnya semangat beliau, memalukan kami yang konon bergelar pemuda. 

Usai majlis dan ucapan dari pimpinan, kami mengambil peluang untuk bersalaman dengan tokoh tua yang tidak kenal lelah dan penat itu. Beliau tetap berdiri dan apabila dihulurkan kerusi supaya beliau boleh bersalaman sambil duduk, beliau menolak dan menegaskan ‘’Ana Qaa’im’’ (aku berdiri). Ya, beliau sangat fasih dalam bahasa Arab,bahkan Dr.Asri Zainal Abidin pernah menyifatkan bahawa bahasa arab Ustaz Ya lebih fasih berbanding bahasa Melayunya.

Aku maju ke atas pentas, menghampiri sosok tarbawi itu, beliau memandang tepat ke mataku lalu tersenyum, aku cuba untuk membalas senyumnya, ku sahut tangannya dan ku cium, Ustaz Ya melafazkan doa ringkas bagiku. Betapa cantiknya adab beliau menyantuni kami meskipun beliau seorang pemimpin, ulama’ dan murabbi. Terasa malu dengannya. Tak terbayang indahnya  saat andai berhadapan dengan Rasulullah yang tentunya sebaik-baik ciptaan Allah.

Allah menjemput Ustaz Ya pulang saat jiwa kami benar-benar dahaga kepada santunan dan sentuhan tarbiah. Kehilangan beliau sukar dicari ganti. Bahkan sukar untuk melahirkan sosok sepertinya. Beliau meninggal dunia pada 14hb Jun 2012 bersamaan 24 Rajab 1433H pada petang Khamis. Mudah-mudahan Allah meluaskan rahmatNya bagi Ustaz Ya, mengampunkan dosa-dosanya serta seluruh muslimin serta dipermudahkan urusan sekalian di dunia dan akhirat, ameen.

Friday, June 1, 2012

nota 1

Ilmu itu adalah capaian akal dan pengetahuan yang membantu kita mengenali Tuhan, menambah ketakutan kita padaNya, takut yang disulami rasa sayang, malu dan sebagainya. Takut, yang tidak semata-mata bererti ketakutan seperti perasaan takut ketika berdepan dengan binatang buas ataupun penjahat.

Ilmu yang bermanfaat, disandingkan dengan amalan dan kemudiannya melahirkan pengharapan.

Segala jenis ilmu hakikatnya mampu membawa kepada capaian akal dan nilaian moral. Sebab itu, boleh jadi, orang yang belajar Pendidikan Sivil lebih beretika serta bersifat manusiawi berbanding yang mereka yang mempelajari Akhlak Islamiyyah.

Justeru, jangan hanya mencari capaian akal dan nilai moral.
Namun carilah juga (dalam ilmu itu ) Iman dan Taqwa.

-nota buat aku yang kerap lalai

Monday, May 28, 2012

Cerita 29 Mei...


Tiba-tiba aku terfikir,

Sebagai seorang lelaki, menyoal atau disoal berkenaan dengan ciri-ciri wanita yang ingin dijadikan isteri adalah satu bentuk soalan yang bertaraf biasa bagi aku. Jawapan daripada seorang lelaki, biasanya bersifat stereotype atau ‘ala-ala’ antara satu sama lain ; sedap mata memandang, pandai memasak, boleh didik anak, pembersih dan bermacam-macam lagi ‘soft-skills’ yang perlu ada pada seorang wanita yang ingin menjadi isteri. Kalau tidak banyak pun,sekurangnya mesti ada ‘pandai memasak’ tu.

Namun, jarang sekali aku mendengar atau terbaca seorang wanita yang inginkan lelaki yang mempunyai ‘soft-skills’ seperti pandai membaiki kereta, boleh membaiki barangan elektrik atau boleh bertukang. Hahaha. Sebaliknya, jawapan yang diterima lazimnya adalah ; boleh membimbing dan menjaga keluarga.

Memasak dan mengemas rumah adalah kelebihan kaum wanita yang memerlukan kepada keupayaan fizikal. Manakala membimbing memerlukan sifat dalaman yang kuat seperti sabar, tidak gopoh, memahami dan lain-lain.

Tak semua wanita pandai memasak. Tak semua lelaki boleh bersabar.

Apa pun,hidup ini subjektif,bukan semua perkara boleh disimpulkan sebegini mudah.

Ilmu adalah satu hal, tapi fatwa dan ijtihad adalah perkara yang lain. Tapi saling memerlukan.

Men are from Mars, Women are from Venus
Moga umur dan masa itu,samada yang telah lalu dan yang akan datang, diberkati oleh Allah.
Sebaik-baik kamu adalah yang panjang umurnya serta baik amalannya.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

عن وابصة بن معبد قال : أتيت رسول الله فقال :
يا وابصةُ، اسْتَفْتِ قلبَك، واستفتِ نفْسَك ؛ البِرُّ ما اطمأنتْ إليه النفسُ، والإثمُ ما حاكَ في النفْس، وتَرَدَّدَ في الصدر، وإنْ أفتاكَ الناسُ وأفتَوْكَ

Daripada Wabisoh ibni Ma’bad r.a. beliau berkata: Aku telah menemui Rasulullah SAW lalu baginda bersabda:

Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu ialah suatu perkara yang diri dan hati merasa tenang tenteram terhadapnya,dan dosa itu ialah suatu perkara yang tergetar dalam dirimu dan teragak-agak di hati, sekalipun ada orang yang memberi fatwa kepadamu dan mereka memberi fatwa kepadamu (membenarkannya).

Hadith Hassan Riwayat Imam Ahmad

Thursday, May 24, 2012

Taksub...

Assalamu’alaikum dan Salam satu…….

Label-melabel

Tidak tahu kenapa, tapi seolah-olahnya sifat hasad, bersangka buruk, dengki, cemburu dan yang seangkatan dengannya adalah sesuatu yang telah dipakejkan kedalam Melayu. Bangsa –bangsa lain juga ada yang bersifat sedemikian, namun tidak dikedepankan sepertimana orang-orang melayu mengkedapankan sikap-sikap ini.

Apa yang cuba untuk aku bebelkan ini, yang pertamanya bertitik tolak dengan apa yang berlaku di Malaysia sekarang ini yang membelengu pemikiranku. PAS dituduh membawa ideologi Khawarij,juga pada masa yang sama dikatakan sebagai platform Syiah,sebelum ini dilabel sebagai Wahabi. Dr. Mohd Asri Zainal Abidin mantan Mufti Perlis dituduh cenderung kepada pemikiran Muktazilah, Tn. Guru Nik Aziz dituduh Kafir.

Wallahul musta’an.

Apa yang hebatnya adalah mereka masing-masing berhujah dengan menggunakan nas al-Quran dan al-Hadith. Kita berlindung dengan Allah daripada penyakit menjual ayat agama dan penyakit tertipu dengan ilmu.

Sebetulnya aku bukan hendak berhujah bagi membetulkan individu dan organisasi di atas. Cuma sekadar berkongsi bebelan DoplohSen aku. Masalah melabel dan menuduh sebegini telah berlaku semenjak ratusan tahun yang lalu. Ianya adalah masalah SIKAP yang selalunya akan cuba disorok dengan hujah-hujah. Kita bersangka baik bahawa ulama’ dahulu (dan masa kini) melakukan sedemikian kerana untuk menzahirkan ‘betul-salah’ menurut pandangan dan rasa tanggungjawab serta amanah terhadap ilmu masing-masing. Mereka datang dari blok-blok pemikiran yang berbeza, justeru, berbeza pandangan adalah sesuatu yang sukar untuk dielakkan. Dua orang, seorang daripada mereka memakai kacamata dengan cermin kuning dan seorang lagi dengan cermin kebiruan. Adakah mereka akan sepakat mengatakan bahawa pemandangan mereka adalah gelap seolah-olah memakai cermin hitam?

Persoalan yang sepatutnya timbul daripada analogi di atas adalah kenapa si A dan si B memakai kacamata yang berbeza warna? Bukannya soalan kenapa si A melihat dengan pandangan kekuningan dan si B dengan pandangan kebiruan kerana ini adalah natijah walhasil daripada kacamata yang berbeza. Namun dari segi disiplin ilmu, untuk pergi kepada soalan yang sepatutnya ditanya itu sudah tentu memerlukan kajian yang mendalam dan masa yang lama selain daripada sikap-sikap yang lain seperti sabar, berlapang dada, betul niat dan lain-lain lagi, tidak semua mampu untuk sampai ke peringkat tersebut. Dan yang paling penting dari analogi diatas adalah kedua-dua mereka masih memakai kacamata di mata, bukan seorang pakai di mata, seorang pakai di leher.

Aku ulangi sekali lagi,perkara yang aku cuba kehadapankan adalah berkenaan dengan sikap kerana dari mana-mana blok pun anda, aku dapati terlalu jarang kalian (dan aku) berhujah/berbincang/berdebat atas faktor ‘tasheeh mafaahim al-maghluthoh’ (membetulkan kefahaman yang salah) melainkan ianya hanya akan berlaku dengan emosi, sehinggakan seseorang yang asalnya berkawan baik mampu mengeluarkan kata-kata ‘‘alang-alang bergaduh, biar bergaduh soal aqidah’’. Dan penghujahan ini tiada pengakhiran.

Dan soalan terakhir yang wajib ditimbulkan selepas segala bentuk perbincangan dan penghujahan adalah bagaimana untuk mendamaikan semua ini. Dalam ribuan ulama’ dan umara’, takkanlah tidak ada seorang pun yang merasa bertanggungjawab untuk menyatukan umat Islam yang hanyut dalam dunia kecelaruan dan serangan pemikiran?

Berdamailah, selagi mana tidak melanggar usul/asas/dasar/prinsip Islam. (Atas seruan ‘berdamai’ inilah Hassan Al-Banna dituduh ‘bekerjasama’ dengan Syiah melalui gerakan Ikhwan al-Muslimoon yang diasaskannya)

Berdamailah, kerana sudah pasti kita tidak mampu untuk mencari ‘one by one’ di Mahsyar kelak untuk memohon maaf. Namun bersikap tegaslah dalam perkara dasar dan usul,jangan sampai dipijak dan diratah.

Jangan segala perkara mahu di’politik-kepartian’kan.

PAS ditubuhkan atas nama parti politik adalah kerana itulah caranya dari segi teknikal untuk mengelak daripada diharamkan oleh kerajaan sepertimana yang pernah berlaku sebelumnya dengan nama Hizbul Muslimin yang diharamkan kerajaan British ketika itu.  Selain daripada itu, menubuhkan PAS sebagai parti politik juga membawa maksud ia berkeinginan kepada kuasa (samada di peringkat DUN, Parlimen, Negeri, Pusat) dan pemerintahan yang padanya wujud cara pemerintahan dan syiar Islam. Sekiranya ia mendapat kuasa di peringkat kecil seperti DUN, ia akan berperanan sebagai penegur dan pencadang kepada pemerintah. Sekiranya ia ditakdirkan memerintah,ia berhasrat utk melunasi pemerintahan berdasarkan dengan apa yang terkandung di dalam Islam.

Walaubagaimanapun, sesuatu yang ‘meletihkan mata’ bagi aku secara PERIBADI melihat rakan-rakan yang semua perkara mahu dipolitik kepartiankan olehnya. Aku seorang stalker yang rajin follow up facebook rakan-rakanku. Namun apabila terbaca satu post berkenaan Irshad Manji,lalu si pemilik post menyalahkan kerajaan kerana membenarkan Irshad Manji masuk ke Malaysia, aku kurang bersetuju. Aku tidak bermaksud cara dia itu salah,mungkin kerajaan juga perlu bertanggungjawab namun bukan seratus peratus kesalahan itu ditanggung kerajaan kerana di Malaysia wujud puluhan NGO Islam yang mampu berperanan dengan lebih berkesan sekiranya Irsyad Manji itu diletakkan tempatnya sebagai mad’u, bukan musuh. Sepertimana PAS meletakkan Ambiga dan Karpal Singh di dalam kelompok mad’u, how’s on earth Irshad Manji was treated as an enemy while she herself is a muslim? Bagi saya ini lebih konsisten walaupun mungkin tidak mendatangkan keuntungan kepada parti. I can say, dalam isu Irshad Manji, we are all guilty (govt,parties,NGOs,individual). Ini baru satu dosa, ada ‘ribu-riban’ lagi dosa kita.

Kepelbagaian dalam PAS perlu ‘dipergunakan’. Ada watak/dewan yang bersifat tegas, boleh tegur secara berdepan. Ada watak/dewan yang lemah-lembut, boleh pimpin tangan Irshad Manji untuk so called ‘slow-talk’. Kita terbiasa dengan cara berpolitik yang tidak sihat dan ianya menjadikan kita terikut-ikut walaupun kita mampu menawarkan politik cara Islam. Ramai yang mampu menghadam politik islam secara hukum-hakamnya seperti hukum pilihanraya,hukum demonstrasi,hukum tahaluf siasi dan lain-lain namun kita gagal menghadam serta beramal dengan akhlak islam dalam berpolitik.

Apa pun, ini cuma pandangan saya yang bersifat peribadi yang terdedah kepada kesilapan.Aku bukan ingin membaiki dari tirai Brahmin, sekadar melontar sesuatu untuk difikirkan,itu aja. Bahkan aku sendiri boleh menjawab dakwaan/pertanyaan yang aku kemukakan ; mungkin mereka sibuk/tidak cukup orang/ada keutamaan lain selain Irshad Manji/"tulis senanglah,cuba buat tengok". Inilah kekurangan kita yang perlu kita tampal dan bahu-membahu.

‘’Saya tidak kecewa jika ramai yang unfriend saya kerana saya banyak post tentang politik, Cuma saya sedih kerana mereka menolak politik sebagai sebahagian daripada agama”, cebisan post dari pemilik yang lain pula. Sejak bila pula bila seseorang itu tidak berminat kepada isu politik,bermaksud dia menolak sebahagian daripada agama? Seseorang yang tidak berminat tentang perniagaan tidak boleh dikatakan dia menolak sebahagian daripada agama meskipun perbahasan berkenaan dengan perniagaan wujud di dalam Islam. Lainlah sekiranya orang itu berkata : “tidak ada politik dalam Islam”. Namun itupun boleh dibahaskan lagi perbezaan pendapat antara ulama’ bergantung kepada ‘kacamata yang berlainan warna cermin’. Kita terlalu mudah sampai kepada kesimpulan, dan once again, kita menghukum. Aigo,dosa lagi.

Aku juga pernah berhadapan dengan situasi bilamana seorang rakan sekolah aku menyatakan di grup batch kami bahawa dia tidak minat politik,katanya politik adalah kotor. Aku menyanggahi beliau dengan menawarkan bahawa politik yang diajar oleh Islam adalah bersih. Namun 'hipotesis' beliau yang diambil berdasarkan realiti kelakuan/aksi/tindakan dari semua parti politik termasuk PAS akhirnya hanya mampu diterjemahkan melalui komen terakhir "apa-apa pun, tetap tak minat politik".

Ada orang berbicara tentang politik dari sudut keagamaan, ada yang pandang dari sudut Demokrasi Yunani, ada yang pandang daripada pandangan menguruskan ekonomi negara dan ada yang pandang bahawa politik adalah fitnah/kata-kata kesat/bergaduh dan yang sewaktu dengannya. Apakah sekiranya mereka duduk bersama, maka akhirnya mereka mampu menghasilkan satu pendapat yang sama? "Kacamata yang berbeza warna cermin akan menghasilkan warna pemandangan yang berbeza". Lihatlah dari pandangan Islam kerana itu yang terbaik.
 
Post kali ini,bukan kutukan,perlian atau setaraf dengannya,tetapi teguran. Teguran kerana mungkin aku sendiri pernah/masih melakukannya. Boleh kan saling tegur menegur?Samada kita menggelar diri kita sebagai Haraki, Siyasi, Salafy, Sufi , Neutral dan sebagainya,janganlah kita taksub.