Sunday, December 18, 2011

Mengisi bekal yang kosong


Assalamualaikum.

Hari ini aku tidak kemana-mana, aku tidur beberapa jam selepas Subuh kerana semalaman berjaga menghayati tulisan Ustaz Nik Abduh Nik Aziz di blog beliau, selain ‘mesyuarat tergempar’ selepas Subuh tadi, mesyuarat yang penting dalam merealisasikan Baitul Muslim. Tapi aku bukanlah suka untuk terperap sahaja di rumah seharian, paling-paling tidak,aku kena usahakan juga untuk ke Masjid. Tapi aku juga sangat benci untuk keluar tanpa arah,itu lebih membosankan berbanding duduk di rumah. Pernah sekali seorang kawan membawaku menaiki Metro Underground di Kota Debu ini sehingga ke stesen terakhir ; Munib (bukan Munich). Kemudian berjalan kaki sehingga ke Dataran Tahrir yang mengambil masa sejam! Aku buat muka. Membatu.

Menjelang maghrib tadi,aku keluar. Antara perkara yang aku suka di Mesir ini adalah masjidnya yang banyak. Aku tidak perlu risau untuk keluar pada bila-bila masa kerana pabila masuk waktu solat, azan pasti kedengaran dan mampu ke masjid berhampiran. Aku memakai sweater biru berzip hingga ke leher, berseluar khakis dan berkasut sneakers. Aku rasa sungguh cool. Teringat pula kasut Converse kesayanganku yang dicuri di asrama ketika di sekolah menegah.Oh, tidak dilupakan, kopiah Raihan aku.

Si Miskin

Aku berjalan kaki ke Bukit Bintang Kairo,iaitu jalan lurus yang melintasi depan rumah aku. Jangan tanya pada sesiapa tentang Bukit Bintang ini kerana hanya aku yang tahu ia di mana. Satu kawasan untuk golongan pertengahan dan kaya Arab membeli belah. Jangan gambarkan seperti di Malaysia kerana jurang antara golongan rendah-pertengahan-tinggi di sini sangat melangit jurangnya. Bersyukurlah di Malaysia tidak begini.

Di kawasan agak elit sebegini pastinya turut menarik peminta sedekah untuk mencari rezeki. Ramai peminta sedekah di Kairo. Jangan difikirkan samada mereka berpura miskin atau dibayar oleh sindiket. Kalau ada sedikit lebih di dalam pokek, berilah setakat yang mampu. Kalau tidak memberi, janganlah terasa hati sekiranya anda dimarahi/dikutuk oleh peminta sedekah di sini disebabkan anda tidak bersedekah atau memberi selain daripada duit.

Bersedekah ada tempatnya di dalam al-Quran ; menunjukkan keutamaan dan kebesaran dalam memberi sedekah. Apatah lagi bersedekah dan berinfaq untuk jalan meninggikan agama Allah.

Teringat pesan seorang Ustaz ; yang dimaksudkan dengan harta kita adalah segala kepunyaan yang kita sudah infaq dan sedekahkan untuk kebaikan. Itulah harta kita yang dah confirm, yang ada NILAInya di akhirat dan disisi Allah. Yang didalam dompet itu, masih belum tentu NILAInya.

Janganlah jadi seperti Arab yang bakhil.

No comments:

Post a Comment