Tuesday, December 13, 2011

Memahami Hak Hamba


Assalamualaikum.

Pada pagi yang tenang dan lapang itu, kami berkongsi cerita. Dipandu oleh seorang naqib yang luas mindanya. Tajuknya ; kewajipan berjuang untuk Islam. Satu tajuk yang kebiasaanya mengundang jawapan yang stereotaip ; “aku tak layak”. Kelazimannya apabila membincangkan sesuatu perkara yang melibatkan soal ‘wajib’,’sunat’,’makruh’,’haram’ dan yang sepertinya, sudah tentu tidak dapat lari daripada menyelusuri usul dan kaedah fiqhiyyah.

“Kita tidak akan melihat topik ini dari kacamata hukum wajib secara fiqhiyyah, namun kita akan lihat dari sudut asas agama dan sejarah”, kata si naqib.

Secara umumnya, kehidupan setiap makhluk sudah ditentukan oleh Allah akan laluannya, dari permulaannya sehingga ke akhir perjalanan. Ini wajib diimani. Supaya manusia tidak melangkaui haknya sebagai hamba.

Begitulah juga keadaannya dengan Islam. Pada masa ini, Islam tidak memimpin dunia,dalam bahasa lain ; Islam tewas. Kejatuhan empayar Islam Uthmaniyyah di Turki pada 1924 masih belum ditebus hinggalah tahun ini. Kemudian, muncullah gerakan-gerakan Islam yang bermatlamatkan jihad, dakwah dan mengembalikan kegemilangan Islam memimpin dunia. Maka, gerakan-gerakan ini berjalan, merancang dan melaksanakan perjuangan mereka dengan azam dan kekuatan serta bersungguh-sungguh.

Pada awal tahun ini, kebangkitan bangsa Arab di beberapa buah negara menarik perhatian dunia. REVOLUSI INI TERKELUAR DARIPADA PERANCANGAN MANA-MANA GERAKAN ISLAM BAHKAN IKHWAN AL-MUSLIMUN DI MESIR. Ini adalah fakta. Maka siapakah yang merancang semua ini? Sudah tentu jawapannya adalah Allah SWT.

Pada beberapa minggu lepas aku sempat menyertai perhimpunan aman di Masjid Al-Azhar usai solat jumaat. Himpunan ini asalnya bertujuan untuk menunjukkan solidariti dan sokongan kepada perjuangan membebaskan Masjid Al-Aqsa dan Palestin. Aku tertarik dengan ucapan salah seorang pemidato pada hari tersebut yang menyatakan “ kita akan mengikuti apa yang pernah berlaku pada zaman Sultan Salahuddin Al-Ayyubi membebaskan Al-Aqsa, pada masa itu, Mesir dan Syiria (sebahagian Syam) bergabung dan melawan Yahudi untuk membebaskan Al-Aqsa, justeru, kita bersedia dan perbaiki keadaan Mesir dahulu, kemudian selepas diktator di Syiria ditumbangkan, kita akan bergabung dan berjihad untuk membebaskan Al-Aqsa dan Palestin”. Maka sudah tentu selepas itu, kegemilangan Islam akan muncul semula.

Perkara ini diluar perancangan gerakan Islam, di luar perancangan manusia.

Perancangan manusia sekadar untuk melengkapi sunnah kehidupan. Yang menjadikan ia kenyataan ataupun tidak, itulah kuasa Tuhan yang esa.

Begitulah juga keadaannya dalam memahami hakikat takdir diri sendiri.

“ Perhatikan sejarah, perbezaan antara empayar-empayar Islam diselangi oleh sekitar seratus tahun, bermakna, Islam tewas untuk tempoh sekitar seratus tahun sebelum ia bangkit semula. Empayar Uthmaniyyah meninggalkan kita sekitar 87 tahun, sudah hampir seratus tahun”, tambah si naqib.

“Allah telah menjanjikan kemengan Islam, soal bila dan bagaimana itu, bukan hak kita untuk difikirkan. Yang penting, Islam pasti akan menang kerana janji Allah itu benar. Persoalannya, selepas kita yakin bahawa Islam akan menang, adakah kita masih mahu duduk sahaja ataupun mewajibkan diri kita untuk berusaha dan bersama-sama dengan perjuangan Islam yang kemenangannya sudah dijanjikan oleh Allah?”, tanya naqib.

“Wajib”, itulah jawapannya.

Seorang sufi berkata : “Aku berdoa dan memohon kepada Allah, bukanlah bererti aku tidak yakin bahawa Allah telah menetapkan segalanya bagiku, tetapi aku berdoa kerana Allah menyuruhku berdoa. Aku bekerja bukan kerana aku tidak percaya bahawa Allah telah menetapkan rezeki buatku, tetapi aku bekerja kerana Allah menyuruhku bekerja”


No comments:

Post a Comment