Tuesday, November 29, 2011

Usrah Cinta #1


“Abang, saya balik rumah kejap ya, nak mandi-mandi kejap, petang nanti saya datang sini balik, kalau ada apa-apa, call je ok?” beritahu Aiman kepada Fairuz.

Aiman merupakan pelajar tahun dua Universiti Kaherah, jurusan Bahasa Arab. Dia berkawan baik dengan Mukhlis, adik kepada Fairuz, sejak mereka bersekolah menengah di Malaysia lagi. Mukhlis pula lebih berminat menyambung Ijazah Pertamanya di Malaysia sahaja, jurusan Ekonomi.

“Settle Man, anyway terima kasihlah sebab tolong jemput abang kat airport tadi, malam ni abang belanja makan kat Mutiara ok? Haha”, balas Fairuz.

Ini bukanlah kali pertama Fairuz datang ke Mesir. Dia pernah melancong ke Mesir sewaktu cuti musim panas tiga tahun lepas, ketika masih bergelar mahasiswa Universiti Victoria of Wellington, New Zealand. Waktu itu dia datang bersama dengan sebuah keluarga Melayu yang ketua keluarganya sedang menyiapkan pendidikan di peringkat Doktor Falsafah di universiti yang sama. Fairuz memanggilnya dengan gelaran Pak Syeikh, kerana dia juga merupakan naqib usrah Fairuz di New Zealand.

Fairuz masih ingat, Mutiara merupakan nama sebuah restoran masakan Melayu-Siam yang menjadi ‘tempat rujukan’ masyarakat Melayu yang tinggal di sekitar Kaherah terutamanya dikawasan Hayyu Sabie’. Tom Yam restoran tersebut memang terbaik. Sebab itu Fairuz ‘mengidam’ sangat untuk menghirup lagi Tom Yam di situ. Bak kata orang, terkenang.

Fairuz bangkit dari katilnya dan keluar dari bilik untuk meninjau ceruk-ceruk rumah sewanya. Dia memilih untuk duduk seorang diri kerana dia lebih selesa begitu. Bukan menyombong, tetapi untuk awal-awal ni, biarlah begitu. Dia juga bercadang untuk mengajak pelajar Malaysia yang kurang berkemampuan untuk tinggal bersamanya, tapi itu kemudianlah diuruskan.

Fairuz bukanlah orang kaya,tapi nilai matawang pound Mesir yang lebih rendah berbanding Ringgit Malaysia membolehkan dia membayar sewa untuk sebuah rumah. Lagi pula, apalah yang penting sangat dengan duit, sedangkan Pak Syeikh pun mampu menyara lima orang ahli keluarganya di sebuah negara mahal seperti New Zealand dengan hanya bersumberkan kewangan daripada universiti tempatnya mengajar dan upah part-time sebagai housekeeper di sebuah hotel. Fairuz yakin, bahkan sangat yakin bahawa rezekinya sudah ditetapkan oleh Allah. Dia teringat kata-kata yang dia baca atau dengar entah dari mana ; “dapat sedikit,kita guna cara orang dapat sedikit, kalau dapat banyak,kita guna sebaiknya, yang paling penting,bersyukur!”

Fairuz membuka pintu untuk ke balkoni. Rumah sewanya berada di tingkat empat daripada tujuh tingkat bangunan. Terletak di tengah-tengah kota kawasan Madinet el-Nasr,lebih tepat lagi di Jalan Abbas el-Akkad. Dia melihat kebawah, kiri dan kanan. “Debu” getus Fairuz.

Dilihatnya pula kenderaan-kenderaan di bawah. Sesak. Teringat kata-kata Aiman ketika di dalam teksi tadi ; “Mesir ni peraturan jalanraya memang macam takde bang, asalkan boleh buat kereta tu berjalan, boleh dah dapat lesen. Kat sini signal tak penting sangat, yang paling penting brek dengan hon,hehe”

“Agaknya Aiman cakap camtu sebab dia nampak kaki aku macam nak tekan brek kaki tadi, padahal duduk belakang, mana ada brek! Mahunya tak menggelabah, sikit lagi teksi tu nak langgar kereta depan”,bicara hati Fairuz, dia tersenyum seorang diri apabila teringatkan teksi yang mereka naiki tadi. “Gila!” bentak Fairuz sambil berjalan untuk melihat bilik air.

Baru sahaja dia memegang kepala paip, bunyi loceng rumah bergema. “Ai, tak boleh kuat lagi ke bunyi loceng ni?” Fairuz mengomel. Dia segera ke pintu depan, hatinya berdebar juga bila teringat cerita daripada Aiman tentang perangai sebahagian orang Arab Mesir. Dia tahu bukan Aiman yang menekan loceng sebab kelibatnya menunggu bas, tidak kelihatan sewaktu Fairuz meninjau ke bawah dari balkoni rumahnya. Fairuz membuka pintu.

“Salam ‘alaik, aisz moyyah”, terpacul kata-kata daripada seorang arab berusia sekitar 40-an sambil tersenyum.

“Haa??”, Fairuz terpana.

2 comments:

  1. nak sambungannya. tertarik bace cerita nie. "Aisz moyyah" tu ape maksudnye?

    ReplyDelete
  2. satu bulan, satu siri..hehe,bkn snang tau org x pnh abes bce novel nk tulis genre novel..

    ReplyDelete