Monday, November 28, 2011

Kapal,Terbang,Syurga




Assalamualaikum Warahmatullah.

Cuti. Ya hari ini 28 dan esok 29 November, cuti umum untuk Republik Tanah Debu ini. Khas untuk pilihanraya pertama selepas revolusi 25 Januari 2011. Aku gunakan masa yang ada ini untuk mencoret sesuatu di blog setelah terbitnya matahari, sambil minum teh panas bagi mengurangkan rasa dingin syita’.

Sebenarnya aku suka untuk menulis di blog secara aktif. Ada sahaja waktu untuk menulis kalaupun tidak ada cuti umum ini. Tetapi aku bimbang kalau-kalau tulisan aku itu sekadar menjadi bebelan yang membosankan. Aku teringat kepada satu kisah, tetapi Allah sahaja yang mengetahui kebenarannya, tetapi aku cuma ingin mengambil pengajarannya sahaja. Kisah mengenai seorang ulama’ yang menulis sebuah karya matan bagi tauhid dan fiqih. Selepas suatu tempoh, beliau siap menulis matan tersebut didalam mushaf dan apa yang mengejutkan adalah beliau bukan mencetaknya tetapi membuangnya ke laut!

“Sekiranya ada kebaikan pada penulisanku itu serta manfaat yang benar untuk manusia, aku percaya dengan kuasa Allah pasti akan ada yang menjumpai tulisanku itu walau ia telah berada di dasar laut yang dalam”. Begitulah maksud ulama’ tersebut atas tindakannya itu. Maka sampai sekarang kitab tersebut masih digunakan dan diletakkan kalimah ‘safinah’ (kapal) pada judul kitab tersebut sebagai simbolik kisah tersebut. Begitulah satu contoh ulama’ yang humble (merendah diri) dan sincere (ikhlas). Bukan mudah untuk seseorang itu mendapat keikhlasan dalam beramal, apatah lagi bila dihidangkan dengan habuan dunia.

Bukanlah aku bermaksud untuk membekukan minda dengan cara menjadi pasif, apa yang aku ingin tonjolkan melalui kisah diatas adalah ikhlas dalam melakukan amalan khususnya melalui penulisan, agar apa yang ditulis setidaknya ada manfaat walaupun sedikit untuk orang yang membacanya.

Airport yang nostalgik.

Semalam aku ke Lapangan Terbang Antarabangsa Qaherah, untuk menghantar seorang ali/ahli beyt (housemate) aku yang kembali ke Malaysia,selesai pengajiannya di Al-Azhar,kiblat ilmu agama. 8 tahun beliau di sini. Dan beliau memanfaatkan 8 tahun tersebut sebaiknya. Airport yang sama juga menjadi tempat pijakku yang pertama selepas sampai di Bumi Kinanah ini. “Kalaulah ayah aku seorang menteri UMNO, aku rasa semalam juga aku beli tiket on the spot untuk balik ke Malaysia, alang-alang tengah cuti ni.

Sebenarnya aku tidak suka untuk berada dalam situasi seperti menghantar kawan ke airport. Entah kenapa. Suasana tersebut kebiasaanya menjadi hiba dan sedih. Tetapi malangnya, aku adalah seorang yang gagal untuk menunjukkan perasaanku, sedih atau gembira. Di saat sahabat lain menitiskan air mata, aku jadi buntu tidak tahu untuk berbuat apa. Aku hanya berdiri memeluk tubuh di balik dinding. Aku melihat orang ramai, sementara sahabat-sahabat lain ‘meraikan’ dua orang sahabat yang pulang ke Malaysia.

Pandanganku terpaku kepada seorang lelaki arab yang menangis. Melihat lelaki arab menangis merupakan keajaiban dunia kelapan! Sah dia sangat sedih tatkala perlu berpisah. Dia mencium dahi isterinya sambil menangis. Ada bayi comel di pangkuan isterinya. Semena-mena mataku bergenang dengan air mata. Aku pasti perpisahan tersebut sangat sangat sangat berat untuk mereka. Mungkin sahaja si suami terpaksa bermusafir untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Begitulah kehidupan. Dalam mencari kecemerlangan yang lain,ada keistimewaan lain yang perlu dilepaskan. Glory needs sacrifices. Aku akuinya. Tiada hidup yang sempurna ; semua yang dikehendaki dapat dikecapi. Bahkan aku yakin Queen Elizabeth pun pasti banyak perkara yang beliau tidak dapat rasai, selain daripada material.

Situasi itu buat aku terfikir dan aku kaitkan dengan analisa politik mesir yang kerap aku fikirkan sebelum ini. Sekiranya satu masa nanti, aku masih berada di Mesir dan kerajaan Mesir ketika itu membuka pintu jihad untuk melawan Yahudi Israel bagi membebaskan Al-Aqsa dan Palestin,adakah aku akan menyahut tawaran berkenaan? Apatah lagi mungkin sahaja waktu itu aku sudah berumahtangga.

Ya, untuk berjihad seperti di Palestin bukan sahaja memerlukan semangat, tetapi apa yang lebih penting daripada itu adalah hati yang bersih dan sangat dekat dengan Allah,sangat dekat. Bukan calang-calang orang yang dipilih untuk bersama HAMAS dan Briged Al-Qassam di Palestin. Bagi aku, mereka adalah wali-wali Allah di bumi ini. Moga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk membebaskan Al-Aqsa satu masa nanti, Islam akan kembali menguasai dunia, dengan rancangan dan izin daripada Allah.

Teringat Ustaz Asri Rabbani.

Aku bukanlah peminat nasyid, bahkan apa-apa genre muzik sekalipun. Aku akan dengar apa sahaja lagu yang sedap didengari bagiku. Ada lagu sedih, lagu gumbira, lagu jiwang dan lagu ketuhanan. Apa yang aku nak kisahkan disini adalah lagu nasyid. Kebiasaannya aku lebih meminati lagu-lagu kumpulan Hijjaz. Tapi ada dua lagu yang sangat aku minat sejak aku mengenali penyanyinya, iaitu lagu Satu Cinta dan Mukmin Sejati daripada Ustaz Hasnul Diwani. Cubalah dengar. Aku tonton persembahannya pada tahun 2008. Sebelum waktu itu, aku fikirkan suara Anuar Zain paling merdu di Malaysia, tapi sungguh, suara Ustaz Hasnul jauh lebih menggetarkan jiwa! Cubalah dengar secara langsung di depan mata. Lagu yang dipersembahkan memang benar-benar daripada lubuk hati beliau,dengan penuh perasaan.

Apabila mendengar lagu beliau, dalam masa yang sama juga aku teringat Ustaz Asri Rabbani. Aku tidak mengenali beliau secara beliau. Tetapi aku pernah menonton persembahan beliau sewaktu di sekolah rendah. Pemergian beliau terkesan di hati aku. Bukan mudah untuk ikhlas apatah lagi apabila populariti dan kemasyhuran berada di setiap tirai kehidupan harian. Al-Fatihah untuk Ustaz Asri dan seluruh orang Islam.

“Aku adalah pengejar syurga akhirat, bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat; aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu. Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat,dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas. Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku...” -Ustaz Asri Rabbani-

3 comments:

  1. semoge impian om tercapai,,,

    ReplyDelete
  2. kita putar halim,, wang besar, wang besar, ~om suke tengok roda impian, pengaruh tv btol~

    ReplyDelete