Monday, April 30, 2012

Merenung kalam Ibnu Atho'illah

Aku tekapkan telinga aku ke dinding rumah kayu kami. Mencari-cari bunyi siaran televisyen daripada rumah sebelah. Rumah sewa kami rumah kayu berkembar. Cuma aku dan adikku di waktu itu,kami berdua di rumah. Hari itu hari sabtu, Ibu dan Ayah bekerja, masa itu, hari Sabtu masih lagi hari bekerja di Malaysia,separuh hari.

“Ok, dah siap, buka” kataku kepada adik aku, sambil jari memicit butang untuk membuka televisyen. Hari itu hari Sabtu. Pelbagai rancangan kartun ketika itu. Kami menonton kartun itu, hingga ke segmen iklan. Aku tutup TV. Selang beberapa minit, aku tekapkan telinga ke dinding kayu itu lagi, mencari suara televisyen kalau-kalau siaran iklan sudah tamat dan rancangan kartun itu bermula semula. “Ok, dah start” kataku lagi.

Atas kapasiti akal budak sekolah rendah ketika itu, aku cuba untuk  konon-kononnya menjimatkan bil elektrik rumah kami. Kalau aku fikir yang kami telah menonton terlalu lama, aku akan letakkan tapak tanganku di atas peti TV itu untuk merasa ‘suhu’nya. Kalau panas, maka aku akan tutup TV dan kami adik beradik bergusti pula di atas katil.

“Abang Long’s Sense”

Namun kini, hidup tidak sesukar dulu,meskipun tidak mewah. Aku tidak pasti apakah adik-adikku belajar dan memahami erti susah.

Banyak perkara ketika aku di sekolah rendah, aku tidak mampu memilikinya. “Kasut karipap, Proyo, pensil Shaker’’ dan macam-macam lagi. Oh ya, ada satu ketika aku dan kawan-kawan bermain bola sepak ketika waktu Pendidikan Jasmani di ‘Padang Berbatu’ sekolah kami itu, aku tersungkur lalu koyak dan berlubang seluarku di bahagian bawah sedikit daripada lutut. Yup,kami bermain dengan beruniform sekolah, kami tidak dididik dengan pakaian jasmani. Di rumah, Ayah menjahit koyak itu,dengan menampal dengan kain yang sama,berbentuk segi empat. Dengan seluar itulah aku ke sekolah saban hari. Sesusah-susah hidup kami, Ibu dan Ayah berusaha juga untuk menyekolahkan kami di sekolah Agama swasta.

Di sinilah apa yang aku ingin sampaikan sebenarnya. Kalau aku rasa aku sudah cukup bersusah, Ibu dan Ayah aku juga berganda-ganda susahnya. Namun mereka tidak akan menunjukkannya di depan kita. Apalah sangat akal si anak kecil, yang hanya tahu meminta itu dan ini.

Ya Tuhan, selayaknya tempat ibu bapa kami semua ini di syurgaMu, maka Engkau masukkanlah mereka ke syurga, tanpa didahului dengan balasan di kubur mahupun di neraka.

Kesusahan itu sebenarnya mengajar. Itupun jika kita mengambil pengajaran darinya. Kalau bukan pengajaran itu kita sedari sekarang, insyaAllah satu hari nanti Allah akan buka juga bagi kita memahami hikmah pada setiap kejadiannya.

Maaf kalau ada yang berasa jelek dengan genre penulisanku di blog yang banyak berkisar tentang kehidupan peribadi aku,dan cerita di umur silamku. Pada fikiran aku,setiap saat kehidupan yang telah aku lalui  semenjak dari aku mula berkunjung ke dunia,hingga tika ini,itulah asetku. Ada asset baik,ada asset kurang baik. Untuk sedikit asset yang baik itu,aku mohon agar Allah menerimanya dan mengekalinya hingga ke saat perhitungan, seterusnya mengampunkan aku atas assetku yang buruk.

Hidup aku,bukanlah semuanya berkisar tentang keluh dan kesah. Namun sekurangnya aku dapat membetulkan persepsi rakan-rakan aku yang ramai merasakan bahawa hidup aku 'smooth' sahaja. Ada masa di atas,ada masa di bawah. Namun berkongsi yang sukar itu,lebih menarik kerana yang sakit,susah dan berat itulah yang banyak mengajar dan ‘mengetuk’ manusia . Namun ada masanya pula, kesusahan itu yang membawa ia semakin jauh dari kebenaran,Naudzubillah.

Bersamalah kita berusaha menjadi anak yang soleh dan solehah, kerana dengan menjadi anak yang soleh dan solehah itulah merupakan balasan yang paling sempurna diatas pengorbanan mereka, meskipun ia masih belum mampu untuk membalas sepenuhnya. 

اجتهادك فيما ضمن لك وتقصيرك فيما طلب منك دليل على انطماس البصيرة منك
" Kau bersungguh-sungguh dalam hal yang telah ditetapkan bagimu (dalam hal rezeki) namun kau cuai dalam menjalankan apa yang dituntut darimu (dalam hal ibadat), maka itu adalah tanda bahawa butanya mata hatimu "

No comments:

Post a Comment