Friday, June 15, 2012

Ustaz Yahya Othman 1939-2012


“Minta maaf Ustaz, minggu ini menjadi minggu yang sangat sukar bagi saya”, kataku kepada Ustaz Islam untuk memberitahunya aku tidak dapat ke kelas petang itu.

Seputar kejadian yang tiba-tiba terjadi dengan Muslim di Myanmar, pembunuhan di Haulah Syria, Palestin yang tetap begitu, pilihanraya Mesir yang bertukar menjadi pertembungan antara Islam dan Liberal dan pelbagai lagi kejadian dan permasalahan yang berlaku dalam kalangan kita orang Islam, tidak dilupakan  masalah Iman dan Taqwa.

Tidak habis dengan itu,aku dikejutkan pula dengan berita pemergian al-Murabbi al-Tarbawi al-Syeikh Yahaya Othman (Ustaz Ya).

Selintas bacaanku terhadap berita itu,aku benar-benar berharap bahawa nama yang diberitakan itu bukanlah Ustaz Yahaya Othman yang kami kenali. Biarlah ia nama seseorang yang tidak kami kenali. Aku baca berulang kali dan akhirnya gambar di bawah artikel tersebut menunjukkan gambar Ustaz Yahya Othman yang kami kenali.

Aku menarik nafas panjang dan dalam. Betapa Allah tidak mengizinkan impianku yang satu ini. Tidak sampai dua bulan lepas, ingatanku kepada beliau sangat kuat, sementelah itu aku tanamkan niat untuk menziarahi Ustaz Ya sesegera mungkin apabila aku pulang ke Malaysia nanti. Namun apalah daya aku sebagai makhluk,tidak lebih dari sekadar impian dan harapan dan sedikit kudrat yang Allah pinjamkan.

Aku tidak layak untuk mengakui diri ini sebagai anak murid Ustaz Ya secara khusus. Namun cebisan ilmu dan kenanganku dengannya,mudah-mudahan menjadi ‘teguran’ buatku tika aku terlintas untuk menjauhi perjuangan. Beliau bersemangat gigih dan benar-benar kuat iltizamnya. Dalam keadaannya yang uzur, beliau sanggup datang dari Kelantan ke Terengganu semasa berlangsungnya Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS tahun 2010, beliau datang untuk memastikan unsur tarbiah tidak ditinggalkan oleh kader-kader PAS. 

Dengan uzurnya itu,Ustaz Ya memberi ucapan semangat kepada kami dan beliau tidak duduk walau sesaat pun ketika berucap walaupun dengan uzurnya itu,Ustaz Ya patut berucap sambil duduk. Beliau memang kuat jiwa tarbiahnya! Kuatnya semangat beliau, memalukan kami yang konon bergelar pemuda. 

Usai majlis dan ucapan dari pimpinan, kami mengambil peluang untuk bersalaman dengan tokoh tua yang tidak kenal lelah dan penat itu. Beliau tetap berdiri dan apabila dihulurkan kerusi supaya beliau boleh bersalaman sambil duduk, beliau menolak dan menegaskan ‘’Ana Qaa’im’’ (aku berdiri). Ya, beliau sangat fasih dalam bahasa Arab,bahkan Dr.Asri Zainal Abidin pernah menyifatkan bahawa bahasa arab Ustaz Ya lebih fasih berbanding bahasa Melayunya.

Aku maju ke atas pentas, menghampiri sosok tarbawi itu, beliau memandang tepat ke mataku lalu tersenyum, aku cuba untuk membalas senyumnya, ku sahut tangannya dan ku cium, Ustaz Ya melafazkan doa ringkas bagiku. Betapa cantiknya adab beliau menyantuni kami meskipun beliau seorang pemimpin, ulama’ dan murabbi. Terasa malu dengannya. Tak terbayang indahnya  saat andai berhadapan dengan Rasulullah yang tentunya sebaik-baik ciptaan Allah.

Allah menjemput Ustaz Ya pulang saat jiwa kami benar-benar dahaga kepada santunan dan sentuhan tarbiah. Kehilangan beliau sukar dicari ganti. Bahkan sukar untuk melahirkan sosok sepertinya. Beliau meninggal dunia pada 14hb Jun 2012 bersamaan 24 Rajab 1433H pada petang Khamis. Mudah-mudahan Allah meluaskan rahmatNya bagi Ustaz Ya, mengampunkan dosa-dosanya serta seluruh muslimin serta dipermudahkan urusan sekalian di dunia dan akhirat, ameen.

1 comment:

  1. Saat duduk bersama beliau di suatu pagi selepas majlis tamrin qiaddi port dickson, saya tanya Kenapa beliau tak jd exco kelantan lagi. Dia kata tgjwb lebih besar utk bimbing siswa siswi yg dianggap tertinggal slps dia pegang jwtn exco. Paling pilu bila dia cerita betapa dhaifnya ketika keluar memenuhi panggilan jamaah sdg duit dlm saku begitu cemas. Dari KL ke kedah dgn pelajar nya tapi tiada sumbangan utk diterima sdgkn beliau begitu kekurangan wang. Dgn kereta tuanya mrk terpaksa bergerak ke melaka pula.. dlm perjalanan di hway singgah di R & R tak disangka2 ada bekas pelajar dtg memeluk dan menyerahkan wang yg dikira dpt mengisi tangki kereta dan mengisi perut beliau dgn pelajarnya. Beliau juga beritau masa jd wakil rakyat bil telefonnya lebih 100 tapi bila dilantik jd exco yg semua bills ďtanggung, beliau beri peringatan kpd anak2 nya supaya jgn guna sebarangan kemudahan itu, klau sanggup mahu Abi masuk neraka kamu gunakanlah... bila orang bertanya siapa lebih layak ganti TGNA maka saya berdoa agar ust Yahya sbg pilihan. Saya juga terasa kehilangan teramat sgt pemergian almarhum murabbi yg di sayangi ini.

    ReplyDelete