“Minta maaf Ustaz, minggu ini menjadi minggu yang sangat
sukar bagi saya”, kataku kepada Ustaz Islam untuk memberitahunya aku tidak
dapat ke kelas petang itu.
Seputar kejadian yang tiba-tiba terjadi dengan Muslim di
Myanmar, pembunuhan di Haulah Syria, Palestin yang tetap begitu, pilihanraya
Mesir yang bertukar menjadi pertembungan antara Islam dan Liberal dan pelbagai
lagi kejadian dan permasalahan yang berlaku dalam kalangan kita orang Islam,
tidak dilupakan masalah Iman dan Taqwa.
Tidak habis dengan itu,aku dikejutkan pula dengan berita
pemergian al-Murabbi al-Tarbawi al-Syeikh Yahaya Othman (Ustaz Ya).
Selintas bacaanku terhadap berita itu,aku benar-benar
berharap bahawa nama yang diberitakan itu bukanlah Ustaz Yahaya Othman yang
kami kenali. Biarlah ia nama seseorang yang tidak kami kenali. Aku baca
berulang kali dan akhirnya gambar di bawah artikel tersebut menunjukkan gambar
Ustaz Yahya Othman yang kami kenali.
Aku menarik nafas panjang dan dalam. Betapa Allah tidak
mengizinkan impianku yang satu ini. Tidak sampai dua bulan lepas, ingatanku
kepada beliau sangat kuat, sementelah itu aku tanamkan niat untuk menziarahi
Ustaz Ya sesegera mungkin apabila aku pulang ke Malaysia nanti. Namun apalah
daya aku sebagai makhluk,tidak lebih dari sekadar impian dan harapan dan
sedikit kudrat yang Allah pinjamkan.
Aku tidak layak untuk mengakui diri ini sebagai anak murid
Ustaz Ya secara khusus. Namun cebisan ilmu dan kenanganku
dengannya,mudah-mudahan menjadi ‘teguran’ buatku tika aku terlintas untuk
menjauhi perjuangan. Beliau bersemangat gigih dan benar-benar kuat iltizamnya. Dalam
keadaannya yang uzur, beliau sanggup datang dari Kelantan ke Terengganu semasa
berlangsungnya Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS tahun 2010, beliau datang untuk
memastikan unsur tarbiah tidak ditinggalkan oleh kader-kader PAS.
Dengan uzurnya itu,Ustaz Ya memberi ucapan semangat kepada
kami dan beliau tidak duduk walau sesaat pun ketika berucap walaupun dengan
uzurnya itu,Ustaz Ya patut berucap sambil duduk. Beliau memang kuat jiwa
tarbiahnya! Kuatnya semangat beliau, memalukan kami yang konon bergelar pemuda.
Usai majlis dan ucapan dari pimpinan, kami mengambil peluang
untuk bersalaman dengan tokoh tua yang tidak kenal lelah dan penat itu. Beliau tetap
berdiri dan apabila dihulurkan kerusi supaya beliau boleh bersalaman sambil
duduk, beliau menolak dan menegaskan ‘’Ana Qaa’im’’ (aku berdiri). Ya, beliau
sangat fasih dalam bahasa Arab,bahkan Dr.Asri Zainal Abidin pernah menyifatkan
bahawa bahasa arab Ustaz Ya lebih fasih berbanding bahasa Melayunya.
Aku maju ke atas pentas, menghampiri sosok tarbawi itu,
beliau memandang tepat ke mataku lalu tersenyum, aku cuba untuk membalas senyumnya,
ku sahut tangannya dan ku cium, Ustaz Ya melafazkan doa ringkas bagiku. Betapa cantiknya
adab beliau menyantuni kami meskipun beliau seorang pemimpin, ulama’ dan
murabbi. Terasa malu dengannya. Tak terbayang indahnya saat andai berhadapan dengan Rasulullah yang
tentunya sebaik-baik ciptaan Allah.
Allah menjemput Ustaz Ya pulang saat jiwa kami benar-benar
dahaga kepada santunan dan sentuhan tarbiah. Kehilangan beliau sukar dicari ganti.
Bahkan sukar untuk melahirkan sosok sepertinya. Beliau meninggal dunia pada
14hb Jun 2012 bersamaan 24 Rajab 1433H pada petang Khamis. Mudah-mudahan Allah
meluaskan rahmatNya bagi Ustaz Ya, mengampunkan dosa-dosanya serta seluruh
muslimin serta dipermudahkan urusan sekalian di dunia dan akhirat, ameen.