Tuesday, January 17, 2012

Pelajar Malaysia mengajar di Masjid Al-Azhar


“Akhi, jangan terburu-buru untuk menjadi faqih, paling-paling tidak pun, 10 tahun di Mesir. Ana insyaAllah lagi 10 tahun di Mesir. Kita tengok nanti, siapa yang hantar siapa ke airport nanti” ujar Ustaz Hairul Nizam Md. Hussein, ketika kami berbual ringkas dihadapan kedai sembelihan sementara menunggu arnab yang beliau pesan siap disembelih dan diproses.

Aku mula mengenali beliau sewaktu beliau memegang jawatan Presiden Persatuan Melayu Repblik Arab Mesir (PMRAM) pada tahun 2009 kalau tidak silap aku. Kenal secara maya, bukan secara langsung. Namun Alhamdulillah, kami ditakdirkan oleh Allah untuk bertemu ketika beliau pulang ke Malaysia tahun lepas, ketika Mesir melalui revolusi 25 Januari. Usai program, aku dan beberapa orang sahabat menghantar beliau pulang ke rumahnya di Gombak, oh rupanya rumah beliau sekitar 15 minit sahaja daripada halaman aku di Gombak, dan beliau juga berdarah Minangkabau, seperti aku.

“Ana memang nak duduk lama di sini. Ilmu bahasa, ana ambil sekadar cukup untuk ana memahami bahasa arab, dan insyaAllah ana cuba untuk mempelajari keenam-enam kitab hadith ‘kutub Sittah,’ ana nak jadi mujtahid!” beritahu ustaz pada aku. “Tapi Ustaz, bukan ke kalau nak jadi mujtahid,kena mahir dalam semua bidang ilmu? Mantiq, Bahasa Arab….” Kataku, cuba untuk mendapat kepastian. “Betul tu,tapi ana nak jadi mujtahid ‘geli-geli’ je” balas Ustaz. Kami ketawa. Begitulah sedutan perbualan kami ketika sedang berlangsung program pembacaan hadith Kutub Sittah anjuran PMRAM beberapa bulan yang lepas. Sengaja aku menegur ustaz yang pada ketika itu kelihatan berseorangan,tidak berteman. Musykil juga aku,kenapa seorang yang hebat seperti beliau tidak ada yang ingin mendampingi?

Beliau merupakan pelajar peringkat Master dalam bidang Usul Fiqh di Universiti Al-Azhar. Satu bidang yang paling sukar di peringkat tersebut.

Ustaz Hairul Nizam (kiri sekali) dan Ustaz Nazrul (kanan sekali) sewaktu masih 'muda'

“Saya ingat Ustaz dah tak kenal saya lagi” ujarku sebaik bersalaman dengan Ustaz Nazrul Nasir. Ustaz hanya tersenyum. Sambil didukungnya anak sulung beliau yang baru lahir, Muhammad Abu Nour namanya,ketika itu sedang tidur. Agak terharu dan bangga aku rasa, dari kejauhan aku nampak kelibat beliau,tapi aku tidak pasti,kerana setahu aku beliau masih di Malaysia. Ustaz pula menenungku dengan renungan tajam disebalik kacamata RayBan USA Original beliau. “Enta kat sini rupanya” ujar beliau padaku. Kami berjumpa di hadapan kedai sayur-sayuran, ketika itu isteri beliau sedang memilih barangan dan mereka baru sampai ke Kota Debu sekitar dua minggu.

Cerita yang hampir sama dengan perkenalanku dengan Ustaz Hairul Nizam, aku telah menjemput Ustaz Nazrul Nasir ke kampus pada tahun 2010 untuk memberikan pengisian,tentang demokrasi daripada pandangan Islam. Akhirnya kami menjadi lebih rapat walaupun tidaklah ‘kamceng’. Beliau menjemputku ke majlis perkahwinannya di Yan,Kedah. Namun kerana jarak yang terlalu jauh,aku tidak dapat hadir.

(Ustaz Nazrul Nasir)

Keduanya-duanya, iaitu Ustaz Hairul Nizam dan Ustaz Nazrul Nasir pada minggu lepas baru sahaja menerima Ijazah Tadris (izin mengajar) di Masjid Al-Azhar! Aku pernah terbaca kisah seorang pelajar Malaysia yang berucap di Parlimen UK,kalau tidak silap aku. Tapi aku pasti, kisah dua orang ustaz ini pasti tidak akan terselit di mana-mana media di Malaysia. Justeru, biarlah aku yang bercerita tentangnya.

Wednesday, January 11, 2012

Membelah debu


  • Alhamdulillah, hampir 5 bulan aku sudah bermastautin di Kota Debu, terlalu banyak hakikat kehidupan yang sudah dan sedang serta bakal dipelajari. Barulah aku faham, kenapa para ulama’ seperti Imam al-Syafie menyarankan penuntut ilmu (pencari hidayah) supaya berkelana, bermusafir dan mengembara.
  • Masih bertatih untuk ‘memfasihkan’ lidah untuk berbahasa Arab dengan lebih baik kalaupun tidak sempurna. Buku rujukan dah ada, kelas dah ada. Tapi amat sukar untuk berjumpa dengan orang Arab di Mesir ini yang boleh diajak berbual, walaupun guru sendiri. Kaedah “Practice makes perfect” dalam mempelajari ilmu bahasa, perlu diamalkan sesegera mungkin sebelum terlewat. Ada yang mencadangkan aku untuk menyertai Jemaah Tabligh kerana di sana mereka bergaul dengan pelbagai bangsa dari serata dunia dan bertutur dalam bahasa Arab. Kebelakangan ini aku kerap memikirkan tentang itu. Yet to be decided.
  • Mula hafaz al-Quran dengan Imam Masjid Al-Azhar,agak tegas. Ah, baru aku sedar tingginya langit apabila belakang badan ditepuk oleh Syeikh ketika aku sedang “uh ah uh ah” mengingati ayat. Sukarnya untuk aku tasmik di tempat yang bising. Berbanding sebelum ini tasmik secara individu dengan guru. Moga aku dipermudahkan.
  • “Perjuangan” adalah istilah yang paling aku tidak gunakan sekitar aku bergerak kerja dalam persatuan atau jemaah. Kerap terdengar dan terbaca istilah ini kebelakangan ini selepas mahkamah memutuskan DS Anwar Ibrahim tidak bersalah.
  • Di musim sejuk ini, aku mencari sinaran matahari. Di musim panas,semampu mungkin aku akan mencari tempat teduh dan mengelak sinaran matahari. Begitulah ibaratnya dengan banjir di Malaysia, ia mungkin menjadi musibah bagi sesetengah orang,tetapi bagi makhluk lain,bahkan segelintir manusia lain, mendapat manfaat daripada banjir. Allah maha bijaksana dan adil.
  • “Kita diberikan oleh Allah dengan nikmat Islam dan Iman tanpa kita memintanya pun. Semoga Allah memberi kita nikmat syurga dan bersama Nabi Muhammad di akhirat kelak sepertimana yang selalu kita minta dan doakan”

p/s : novel yang tak seberapa tu masih bertangguh pembikinannya, due to the republic general election :P

Sunday, January 8, 2012

Memaknakan diri dengan nilai sebenar


Kadang-kadang, apabila tiba waktu aku teringat-ingat kepada rakan dan kenalan aku di serata dunia ini, aku tidak dapat lari daripada membandingkan diri aku dengan mereka dari sudut taraf pendidikan. Tapi jangan salah faham, bukan membandingkan dengan maksud merendah-rendahkan aku ataupun mereka. Sekadar rasa tertanya dari sudut harapan dan cita-cita ibu bapa.

Mempunyai anak yang belajar di tahap yang tinggi di gedung universiti sudah pasti menggembirakan ibu dan ayah. Banyak kali juga, apabila aku dan keluarga pulang ke kampung untuk menziarahi nenek di Gombak, daripada rumah kami di Temerloh, Ibu aku akan cakap “Along nanti dah besar,belajar la kat sini” sambil kami semua memandang ke arah Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Ketika itu,aku masih belajar di sekolah rendah.

Sekarang, pada umur begini, ramai kawan-kawan yang sudah dan bakal menamatkan pengajian ijazah pertama mereka. Aku, masih belum mempunyai sijil untuk dibanggakan oleh orang tua aku. Aku masih bertatih mencari-cari kunci hidayah untuk kehidupan yang hakiki di perhentian yang seterusnya. Bukan kecewa dengan dunia, tetapi sekadar menggunakan usia keemasan sebelum menjadi warga emas. Aku cuma ada segunung azam dan cita-cita untuk membahagiakan orang-orang yang disayangi pada kehidupan yang lebih bermakna.

Bukan aku maksudkan kawan-kawan aku berada dalam kesilapan kerana mengutamakan sijil. Tidak, aku tidak datang daripada pemikiran sebegitu. Cuma aku sedang mensurahkan tentang aku. Dan aku adalah orang yang agak kompleks pemikiran. Barangkali kerana terlalu kerap membaca buku falsafah satu ketika dahulu. Buku Dare To Fail adalah antaranya yang terawal. Begitu juga sesi perdebatan ketika di sekolah menengah, ia banyak membentuk cara aku berfikir. Perdebatan itu bukan sekadar pengalaman, bahkan pembelajaran bagi aku. Pernah aku katakan pada seseorang “kalau macam tu, saya kena ready la untuk tak macam-macam lagi lepas ni”

“Orang dah mula ulang al-Quran bulan ni, doakanlah orang boleh pakaikan mahkota kat ibu dengan ayah kat syurga nanti” , itulah antara isi dalam SMS aku kepada ibu. Aku cuba untuk menggembirakan ibu dan secara tidak langsung memahamkan ibu,apa sebenarnya yang aku cari.

Teringat tatkala membaca kisah Imam Haiwah Bin Syuraih, seorang ulama’ hadith yang dimaqamkan di Mesir pada tahun 159 Hijrah.

Pernah satu hari ibunya datang ketika beliau sedang mengajar hadis. Kata ibunya kepada ulama besar ini "Wahai Haiwah, cepat bangun dan tolong siatkan dan potongkan ayam untukku”. Apakah reaksi seorang imam besar hadis ini? Tidak tahukah ibunya bahawa anaknya sedang mengajar hadis di hadapan ribuan penuntut?


Sang Imam terus bangun meninggalkan majlis hadis tersebut dan murid-muridnya bagi menyelesaikan urusan ibunya. Beliau membuat seperti apa yang diarahkan ibunya tersebut.

Ini bukan tulisan tanda kecewa. Bukan tanda menyesal. Bukan juga cuba-cuba untuk mengatakan apa yang aku fikirkan adalah yang terbaik. Sekadar coretan nota yang diharapkan mampu menjadi sebab hidayah kepada diri, dan orang lain : “Demi Allah, sekiranya Allah mengurniakan hidayah kepada seseorang disebabkan engkau, maka itu adalah terlebih baik daripada unta yang merah (unta merah : sejenis unta yang merupakan kenderaan paling mahal ketika waktu itu), Hadis riwayat Abu Daud.

Kembara yang tidak panjang di Kota Debu ini,adalah kembara mengkoreksi diri, kembara mencari hidayah, iman dan taqwa, kembara memperbaharui semangat dan fikrah, kembara mencari apakah erti sebenarnya keberadaan di bumi ini.

kau? Sudah kau betul-betul jelas erti kau dihidupkan?

Jangan takut dengan kegagalan, tetapi jangan mencari kegagalan!

Semoga berjaya di musim peperiksaan ini, di mana pun anda berada, bi taufeeq wan najaah.

p/s : aku masih cuba untuk menulis entry yang berunsur tidak serius a.k.a ada unsur humour. Tetapi,buat masa ini, aku masih gagal.

Mencari hidayah untuk ain







Tema : Jalan-jalan pagi Sabtu 7/1/2012.
Lokasi : Penempatan belakang Masjid Al-Azhar
Masa : 9.00 pagi.
mood : sudah terlalu lama tidak memancing ikan
p/s : sila klik untuk paparan yang lebih jelas

Saturday, January 7, 2012

Jadilah hamba Allah, jangan jadi hamba ilmu


Seminggu dua ini, sudah beberapa kali aku menjadi makmum masbuq bagi solat Subuh. Bertarung dengan suhu yang sangat sejuk, bilik air yang cuma ada satu di rumah dan melawan rasa takut kerana sudah beberapa kali terdengar tembakan sekitar waktu Subuh. Aku tidak tahu kalau Abbas El-Akkad ini sudah seperti tempat tertentu di Mexico.

Hari ini juga aku terlewat. Bahkan aku sampai ketika Jemaah sudah selesai solat. Perkiraan aku silap. Kebiasaanya pada waktu Subuh, iqamah dilaungkan setengan jam selepas azan. Tiada makmum masbuq yang boleh aku jadikan imam. Mujurlah ada seorang arab yang baru selesai berwuduk.

Dia iqamah,menandakan akulah yang perlu menjadi imam. Aku berkira-kira. Bukan apa, perbezaan mazhab kadang-kadang boleh menjadi isu yang besar. Aku telah banyak kali ditegur selepas solat kerana dikatakan aku lambat mengikuti imam. Manakan tidak! Imam yang membaca al-Fatihah secara berlagu dan tidak laju pada raka’at pertama dan kedua, tiba-tiba mengambil masa hanya sekitar 10 saat untuk bacaan al-Fatihah dengan suara perlahan pada raka’at ketiga atau keempat. Aku dimarahi kerana tidak ruku’ meskipun imam hampir i’tidal. Imam tidak bersalah pun dalam hal ini. Cuma, bayangkanlah ketika kau cuba mencari khusyu’ daripada terbayangkan soal bas, pergolakan di Yaman, apa yang hendak dimakan untuk dinner, dan cuba menghabiskan bacaan al-fatihah, tiba-tiba lutut kau dipukul boleh makmum di sebelah kau, apa yang kau rasa? Aku? Terkejut! Bahkan sehingga jantung berdegup umpama aku baru usai marathon dalam masjid.

Menjadi imam pada solat Subuh, aku masih berkira-kira samada ingin membaca qunut mahupun tidak, kerana di Kaherah ini hanya sebilangan yang amat kecil daripada masjid-masjid yang membaca qunut.

Akhirnya aku membaca qunut, si makmum turut mengangkat tangan berdoa. Di akhir solat, tiada ‘isu’ yang ditimbulkan. Alhamdulillah.

Di mana-mana pun engkau berada. Ingat ini :

at-ta’awun fi ma ittafaqna bih, wa at-tasaamuh fi ma ikhtalafna ‘alaih (bertolong bantulah dalam perkara-perkara yang kita persetujui bersama, dan berlapang dadalah dalam menerima perbezaan pendapat dalam kalangan kamu). Asalkan segalanya masih berada didalam lingkungan syariat Islam.

Ketika Khidir dan Musa berada didalam perahu, seekor burung hinggap di tepi perahu itu, ia meneguk (meminum) seteguk atau dua kali teguk air laut. Kemudian, Khidhir memberitahu Musa, ‘Wahai Musa, ilmuku dan ilmumu tidak sebanding dengan ilmu Allah, kecuali seperti paruh burung yang meminum air laut tadi!’

Sunday, December 25, 2011

Rehat Kejap



Jujurnya, banyak yang ingin diceritakan.
Macam-macam hendak dikongsi.
Tapi hari ini, jari ini terasa berat.
Akal tidak mampu untuk menyusun ayat,
Tidak mampu walaupun satu perenggan.
Pelbagai perkara bermain di minda......dan iman.
Dalam tempoh engkau cuba memahami erti sebenar kehidupan.

Memahami erti dan tujuan hakiki dihidupkan di muka bumi,
ayat yang biasa didengari, diajari, dibaca dan dilagukan.

Namun baru saat ini aku sedar dan cuba memahami perkara itu.



La Haula Wala Quwwata illa Billah.

- i rest my case -