Showing posts with label hidup. Show all posts
Showing posts with label hidup. Show all posts

Monday, April 30, 2012

Merenung kalam Ibnu Atho'illah

Aku tekapkan telinga aku ke dinding rumah kayu kami. Mencari-cari bunyi siaran televisyen daripada rumah sebelah. Rumah sewa kami rumah kayu berkembar. Cuma aku dan adikku di waktu itu,kami berdua di rumah. Hari itu hari sabtu, Ibu dan Ayah bekerja, masa itu, hari Sabtu masih lagi hari bekerja di Malaysia,separuh hari.

“Ok, dah siap, buka” kataku kepada adik aku, sambil jari memicit butang untuk membuka televisyen. Hari itu hari Sabtu. Pelbagai rancangan kartun ketika itu. Kami menonton kartun itu, hingga ke segmen iklan. Aku tutup TV. Selang beberapa minit, aku tekapkan telinga ke dinding kayu itu lagi, mencari suara televisyen kalau-kalau siaran iklan sudah tamat dan rancangan kartun itu bermula semula. “Ok, dah start” kataku lagi.

Atas kapasiti akal budak sekolah rendah ketika itu, aku cuba untuk  konon-kononnya menjimatkan bil elektrik rumah kami. Kalau aku fikir yang kami telah menonton terlalu lama, aku akan letakkan tapak tanganku di atas peti TV itu untuk merasa ‘suhu’nya. Kalau panas, maka aku akan tutup TV dan kami adik beradik bergusti pula di atas katil.

“Abang Long’s Sense”

Namun kini, hidup tidak sesukar dulu,meskipun tidak mewah. Aku tidak pasti apakah adik-adikku belajar dan memahami erti susah.

Banyak perkara ketika aku di sekolah rendah, aku tidak mampu memilikinya. “Kasut karipap, Proyo, pensil Shaker’’ dan macam-macam lagi. Oh ya, ada satu ketika aku dan kawan-kawan bermain bola sepak ketika waktu Pendidikan Jasmani di ‘Padang Berbatu’ sekolah kami itu, aku tersungkur lalu koyak dan berlubang seluarku di bahagian bawah sedikit daripada lutut. Yup,kami bermain dengan beruniform sekolah, kami tidak dididik dengan pakaian jasmani. Di rumah, Ayah menjahit koyak itu,dengan menampal dengan kain yang sama,berbentuk segi empat. Dengan seluar itulah aku ke sekolah saban hari. Sesusah-susah hidup kami, Ibu dan Ayah berusaha juga untuk menyekolahkan kami di sekolah Agama swasta.

Di sinilah apa yang aku ingin sampaikan sebenarnya. Kalau aku rasa aku sudah cukup bersusah, Ibu dan Ayah aku juga berganda-ganda susahnya. Namun mereka tidak akan menunjukkannya di depan kita. Apalah sangat akal si anak kecil, yang hanya tahu meminta itu dan ini.

Ya Tuhan, selayaknya tempat ibu bapa kami semua ini di syurgaMu, maka Engkau masukkanlah mereka ke syurga, tanpa didahului dengan balasan di kubur mahupun di neraka.

Kesusahan itu sebenarnya mengajar. Itupun jika kita mengambil pengajaran darinya. Kalau bukan pengajaran itu kita sedari sekarang, insyaAllah satu hari nanti Allah akan buka juga bagi kita memahami hikmah pada setiap kejadiannya.

Maaf kalau ada yang berasa jelek dengan genre penulisanku di blog yang banyak berkisar tentang kehidupan peribadi aku,dan cerita di umur silamku. Pada fikiran aku,setiap saat kehidupan yang telah aku lalui  semenjak dari aku mula berkunjung ke dunia,hingga tika ini,itulah asetku. Ada asset baik,ada asset kurang baik. Untuk sedikit asset yang baik itu,aku mohon agar Allah menerimanya dan mengekalinya hingga ke saat perhitungan, seterusnya mengampunkan aku atas assetku yang buruk.

Hidup aku,bukanlah semuanya berkisar tentang keluh dan kesah. Namun sekurangnya aku dapat membetulkan persepsi rakan-rakan aku yang ramai merasakan bahawa hidup aku 'smooth' sahaja. Ada masa di atas,ada masa di bawah. Namun berkongsi yang sukar itu,lebih menarik kerana yang sakit,susah dan berat itulah yang banyak mengajar dan ‘mengetuk’ manusia . Namun ada masanya pula, kesusahan itu yang membawa ia semakin jauh dari kebenaran,Naudzubillah.

Bersamalah kita berusaha menjadi anak yang soleh dan solehah, kerana dengan menjadi anak yang soleh dan solehah itulah merupakan balasan yang paling sempurna diatas pengorbanan mereka, meskipun ia masih belum mampu untuk membalas sepenuhnya. 

اجتهادك فيما ضمن لك وتقصيرك فيما طلب منك دليل على انطماس البصيرة منك
" Kau bersungguh-sungguh dalam hal yang telah ditetapkan bagimu (dalam hal rezeki) namun kau cuai dalam menjalankan apa yang dituntut darimu (dalam hal ibadat), maka itu adalah tanda bahawa butanya mata hatimu "

Thursday, March 22, 2012

Jadikan syukur dan sabar itu sebagai pendamping

Sudah 3-4 kali aku sign in-log out akaun blog aku malam ini. Aku masih berkira-kira untuk menulis. Aku bukan hangat-hangat tahi ayam dalam penulisan blog, cuma hakikatnya untuk berkongsi cerita hidup, aku berasa agak berat. Kerana aku tahu bahawa yang membaca blog aku ini jumlahnya sekadar 4-5 orang yang aku kenali, sifir mudahnya, apa yang aku tulis berkenaan kisah hidup aku, sudah semestinya kerana aku ingin agar 4-5 orang ini supaya memahami diri dan tindakan aku.

Dan untuk menulis sesuatu yang bersifat ilmiah, aku tidak rasa blog aku adalah tempat terbaik melainkan cumanya berkongsi sedikit nota yang aku lakarkan di majlis-majlis yang aku diizinkan oleh Allah untuk menyertainya.

Melakari kerjaya.

Sejujurnya, semenjak dari kecil aku biasa dibanding-bandingkan oleh ibuku dengan sepupu-sepupu yang lain,secara tepatnya dalam aspek akademik. Dibandingkan dengan anak Pak Lang yang mendapat 5A dalam UPSR, dan aku masih mampu menggambarkan wajah sugul dan kecewa ibu ketika malam Penyampaian Hadiah (seperti Konvokesyen, namun aku lupa istilahnya diperingkat sekolah, diadakan untuk memberi hadiah dan penghargaan kepada pelajar selepas peperiksaan akhir setiap tahun) meskipun tika itu umurku cuma 12 dan hanya mampu beroleh 2A.

5A ketika PMR,Alhamdulillah itu keputusan yang mungkin boleh dibanggakan walaupun tidak cemerlang. Borang Sekolah Teknik tersedia diatas meja di rumah, untuk diisi dengan perkataan ‘Senibina’ di pilihan pertamanya. Itulah yang aku cita-citakan bersama rakanku Ridhwan ketika itu, sekarang dia di Liverpool dan Alhamdulillah masih di laluan cita-citanya. Aku tidak mengisi borang itu,aku tidak tahu sebabnya. Dan sekarang, I am out of the path.

“See me during the recess” kata Teacher Azizah kepadaku. Aku tersenyum hampa. Perbualanku bersama Teacher Zarina dalam bahasa Inggeris tidak lebih daripada sekadar ingin tahu khabar akhirnya menjadi ‘audition’ untuk Debat Bahasa Inggeris. Bersama 1st Speaker yang asyik menggondol anugerah the Best Speaker dan 2nd speaker yang kerap bertukar orang,aku diletakkan di posisi 3rd speaker. Bermulalah alam perdebatan, mengkaji isu, menjangka idea pihak lawan, mengambil tahu isu semasa dan sebagainya. Debating adalah ‘sekolah dalam sekolah’ bagi aku. Bersama 1st speaker, kami merancang untuk menjadi Peguam, set up firm bersama walaupun sekarang dia mahu menjadi ‘Guru Tadika’ dengan Ijazah Undang-undangnya. Still, dia masih on the path. Aku, tidak membeli no pin utk borang upu,walaupun secara zahir,keputusan 4A itu sangat memadai untuk terus ke bidang undang-undang. Again, I am out of the path.

Kuliyah Sultan Abu Bakar. Aku memasang azam untuk ke Mesir, dan masih berminat untuk belajar Syariah Wal Qanun (syariah dan perundangan). Entah di mana silapnya, niat serta tindakan aku sebagai YDP Majlis Perwakilan Pelajar disalah tafsir oleh para guru. Aku diminta untuk membuat permohonan maaf terbuka di perhimpunan. And I did it. Namun tekanan yang timbul di sebuah tempat terpencil dan terperap,tidak mampu aku bendung dan pikul lagi. Aku perlukan udara. Dan aku keluar dari Kuliyah. Untuk ke Mesir bagi Syariah Wal Qanun, I am out of the path.

Alam Diploma. Terlalu panjang dan penuh warna. Tempoh waktu ditarbiah dan berdikari. Di sini mula mencongak-congak untuk beralih ke bidang Bahasa Inggeris untuk degree. Aku minta tolong daripada seorang teman di Cardiff untuk mendapatkan borang universiti di sana. Ntah aku pun lupa nama universiti itu.

Sekarang di Mesir. Fatrah muhasabah dan berehat. Aku betul-betul maksudkan aku berehat, khususnya daripada gerak kerja jama’ie. Bukan merajuk atau putus asa. Namun berehat. Untuk mengulang dan memperkukuhkan apa yang aku dapati di zaman diploma. Selain daripada mencari-cari hidayah. Well, hidayah, iman dan taqwa adalah perkara-perkara yang perlu diusahakan kan?

Membaca blog senior aku Dr. Sarah Shukur, mengikuti perkembangan Imran Koyube, Ustaz Syed Abdul Kadir dan sebagainya bahkan daripada teman-teman aku sendiri yang sekarang di alam kerjaya, menjadikan aku sendiri membanding-bandingkan antara kami,seperti ibu membandingkan aku dengan sepupu yang lain.

Aku bukan merungut,kecewa, bersedih dan sebagainya, kerana Alhamdulillah ketika masa entry ini ditulis, aku boleh dikatakan 90% sudah mampu berdamai dengan takdir. 10% itu kerana PERASAAN dan nafsu kerana kita tidak dapat apa yang kita sayang, suka dan hajati dan kita perlu menerima perkara yang kita benci atau tidak suka.

Dan, hakikatnya aku sudah sedar,bahkan baru sedar, bahawa, walaupun aku bukan pelajar 5A UPSR, 8A PMR dan 9A SPM, tapi aku sangat cintakan dunia ilmu ini. Aku tidak berilmu tinggi,jauh sekali, cuma aku ingin gambarkan bahawa jiwa aku cenderung dengan dunia ini, ianya sangat osem! Dan, mungkin ianya adalah path aku,insyaAllah.

Kesimpulan, sungguhlah bahawa sebagai hamba kepada sang Pencipta, segala-gala yang berlaku adalah daripada ketetapanNya, walaupun sekecil-kecil gugurnya sehelai daun,namun itu dalam perhatian, perancangan dan izinNya. Sebagai hamba, tiada apa langsung yang mampu kita lakukan jika dia tidak izinkan. Itulah hakikat kita, yang terlalu amat-amat lemah sebenarnya.

Sekiranya kau mencapai sesuatu yang kau suka dan hajati,maka bersyukurlah,aku betul-betul maksudkan bersyukurlah. Kerana apa yang kau ingini itu seiring dengan izinNya. Bersyukurlah dengan cara melaksanakan segala yang disuruhnya dan berusahalah untuk meninggalkan apa yang dilarang.

Sekiranya, kau, atau mungkin aku sendiri, tidak mencapai apa yang aku hajati, maka sabar itulah yang terbaik. Bersangka baiklah dan teruskan berusaha,jangan berputus asa dalam menggapai keredhaan Allah, insyaAllah, kelak nanti akan ada kelazatannya.

قال رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم:" عَجَبًا لأمرِ المؤمنِ إِنَّ أمْرَه كُلَّهُ لهُ خَيرٌ وليسَ ذلكَ لأحَدٍ إلا للمُؤْمنِ إِنْ أصَابتهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فكانتْ خَيرًا لهُ وإنْ أصَابتهُ ضَرَّاءُ صَبرَ فكانتْ خَيرًا لهُ ". رواهُ مُسْلِمٌ

mafhum : "Sangat mengagumkan bagi urusan orang mukmin itu, bahawa segala urusannya mempunyai kebaikan baginya, dan bukanlah perkara tersebut (kebaikan) untuk seseorang melainkan bagi orang mukmin yang ketika mana diberikan kesenangan/kebaikan, maka dia bersyukur maka itu adalah yang terbaik baginya dan sekiranya ia ditimpa dengan kepayahan dan dia bersabar maka itulah yang paling baik baginya"

Kepada yang mendapat keputusan SPM hari ini,teruskan berjalan.

wallahua'lam

Sunday, March 18, 2012

Penat

Tidak lagi akan aku terhegeh-hegeh